Iklan 2

Iklan 2

Pengikut

Sabtu, Mac 20, 2010

Persidangan Buku Kanak-kanak 2010

MAJLIS Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia (MBBY) dengan kerjasama Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBBY) akan menganjurkan Persidangan Buku Kanak-kanak pada 22 hingga 23 Mac ini.

Persidangan tersebut diadakan bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 (PBAKL) yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC) pada 19 hingga 28 Mac ini.

Menurut Pengerusi Bersama persidangan tersebut, Profesor Dr. Md Sidin Ahmad Ishak, lima aktiviti utama akan diadakan sepanjang dua hari persidangan berlangsung iaitu seminar, bengkel penulisan buku kanak-kanak, bengkel ilustrasi buku kanak-kanak, pameran ilustrasi dan pertandingan ilustrasi.

Dengan bertemakan 'Literasi Kanak-kanak dalam Dunia yang Berubah', beberapa pembentang kertas kerja diundang untuk berkongsi pandangan masing-masing pada hari pertama persidangan.

''Selepas pembentangan kertas kerja tersebut, dua bengkel selari iaitu Bengkel Penulisan Buku Kanak-kanak dan Bengkel Ilustrasi Buku Kanak-kanak yang dikendalikan oleh fasilitator berpengalaman Dr. Amida Abdul Hamid dan Yusuf Gajah akan diadakan pada sebelah petangnya dan diteruskan pada hari kedua persidangan.

''Kedua-dua bengkel tersebut terbuka kepada orang ramai yang berminat dan ingin mempelajari seni penulisan dan seni lukisan dalam bidang sastera kanak-kanak dengan lebih mendalam,'' katanya.

Pada bengkel tersebut, para peserta akan diberi pendedahan dengan idea-idea baru dalam dunia penulisan dan lukisan buku kanak-kanak di samping latihan dalam penghasilan karya secara serius.

Bagi mereka yang ingin menyertai bengkel tersebut, yuran penyertaan sebanyak RM100 dikenakan.

Namun, menurut Dr. Md Sidin, para peserta yang ingin menyertai bengkel penulisan perlu bersedia dengan cerita atau rangka cerita kanak-kanak masing-masing.

Sementara itu, bagi mereka yang berminat untuk menyertai bengkel ilustrasi pula perlu mempunyai latar belakang seni.

Sepanjang dua hari persidangan berlangsung, turut diadakan pameran ilustrasi oleh pelukis-pelukis tempatan untuk tatapan pengunjung PBAKL 2010.

Selain itu, pertandingan ilustrasi untuk golongan remaja berumur antara 13 hingga 17 tahun turut diadakan dengan dua tema pilihan iaitu 'Tokoh Malaysia' dan 'Watak dalam Cerita Malaysia'.

Orang ramai yang berminat untuk menyertai persidangan ini boleh menghubungi Siti Ezaleila Mustafa di talian 013-2727188 atau emel di ezaleila@gmail.com.

Tiada ulasan: