Iklan 2

Iklan 2

Pengikut

Sabtu, Mei 22, 2010

CARA UMMU ABDULLAH DIDIK ANAK


UMMU Abd binti Abd. Wadd bin Suway al-Hazaliyah adalah ibu kepada Abdullah bin Masud. Dia lebih dikenali dengan panggilan Ummu Abdullah. Abdullah bin Masud adalah sahabat Nabi Muhammad yang pintar dan cerdas. Dia merupakan orang pertama yang membaca al-Quran dengan kuat di Mekah.Ummu Abdullah merupakan seorang ibu yang pandai mendidik anaknya. Berkat didikan seorang ibu, Abdullah menjadi seorang anak yang jujur, amanah, pintar dan baik budi pekertinya.

Pada suatu hari, datang Nabi Muhammad dan Abu Bakar ke tempat Abdullah berada. Pada masa itu dia masih kecil dan mengambil upah mengembala kambing milik Uqbah bin Abi Muith.Nabi Muhammad dan Abu Bakar telah dikejar oleh orang kafir Quraisy. Tiba-tiba mereka berasa penat dan ingin berhenti rehat. Mereka terasa lapar dan dahaga. Ketika itu mereka ternampak seorang anak kecil, iaitu Abdullah sedang menggembala kambing.

Abu Bakar segera ke tempat Abdullah lalu bertanya: "Wahai budak kecil, adakah sedikit susu untuk kami minum. Kami berdua berasa lapar dan dahaga."Lantas Abdullah menjawab: "Kambing ini telah diamanahkan kepada saya untuk menjaganya. Saya tidak mempunyai hak untuk memberi tuan berdua minum susu kambing ini. Maafkan saya."

"Bagus sungguh budi pekerti budak ini. Dia seorang yang jujur dan amanah," bisik Abu Bakar sendirian.Nabi Muhammad pergi menghampiri Abdullah lalu bertanya: "Wahai anak kecil, adakah awak mempunyai seekor kambing betina yang belum berkahwin dengan kambing jantan."Abdullah pun menjawab: "Ada. Saya ada seekor kambing betina yang masih muda. Nanti saya bawakan kambing itu kepada tuan."Abdullah segera mengambil kambing betina lalu menyerahkan kepada Nabi Muhammad. Nabi mengusap puting kambing betina itu lalu berdoa dengan beberapa ayat al-Quran. Dengan izin Allah, kantung susu kambing itu mulai penuh.

"Tuan, biar saya sahaja yang perah susu kambing itu," kata Abu Bakar kepada Nabi Muhammad.Kemudian Abu Bakar mengambil sebuah bekas bagi menampung susu kambing itu. Abu Bakar minum susu kambing tersebut sehingga puas. Kemudian dia memberikan Nabi Muhammad minum susu kambing itu."Lega rasanya selepas menikmati susu kambing ini. Rasa bertenaga kembali badan saya ini," kata Abu Bakar.Nabi Muhammad tersenyum melihat gelagat Abu Bakar.

"Alhamdulillah, dapat juga kita minum susu kambing ini. Semoga Allah merahmati rezeki yang kita dapat pada hari ini," kata Abu Bakar kepada Nabi Muhammad.
"Wahai anak kecil, saya ucapkan terima kasih kepada awak kerana memberikan kami susu dari kambing betina itu tadi. Awak seorang budak yang baik," kata Abu Bakar kepada Abdullah.
Sebentar kemudian, Abdullah datang menghampiri Nabi Muhammad. Abdullah pun bertanya: "Wahai tuan, bolehkah tuan ajar kepada saya ayat-ayat al-Quran?"
Kemudian Nabi Muhammad pun berkata kepada Abdullah: Sesungguhnya awak adalah budak yang pintar."Akhirnya Abdullah diajar membaca 70 surah. Dia terus menghafal kesemua surah tersebut dengan baik. "Terima kasih kerana mengajar saya membaca al-Quran," kata Abdullah.Ekoran didikan sempurna yang diberikan kepada Abdullah, Nabi Muhammad begitu menghormati Ummu Abdullah.

Sifat mereka anak-beranak menjadi perhatian dan pujian Nabi Muhammad. Nabi Muhammad pernah berkata: "Sesiapa yang ingin membaca al-Quran seperti mana ia diturunkan, maka ikutilah bacaan Abdullah bin Masud."Ummu Abdullah sangat beruntung kerana menjadi ibu kepada seorang sahabat Nabi Muhammad. Sepanjang hidupnya, dia juga mendapat penghormatan dari khalifah Umar al-Khattab.Peristiwa itu berlaku semasa majlis pengkebumian anak Ummu Abdullah iaitu Utbah bin Masud.Umar al-Khattab sanggup menunggu kedatangan Ummu Abdullah sebelum jenazah anaknya disembahyangkan. Ummu Abdullah meninggal dunia pada zaman pemerintahan Umar al-Khattab.

Tiada ulasan: