Iklan 2

Iklan 2

Pengikut

Selasa, Mei 05, 2009

Memahami ilmu keibubapaan

IBU bapa sebagai institusi masyarakat berperanan membentuk dan membimbing anak menjadi insan cemerlang dan berjaya.

Demi memastikan kesejahteraan keluarga, ibu bapa sanggup melakukan apa sahaja bagi memenuhi keperluan anak-anak termasuk dari segi material, pendidikan dan keselamatan.Dalam zaman serba mencabar ini, kewibawaan mereka sebagai ibu bapa sering kali diuji sehingga menuntut mereka untuk sentiasa mendalami ilmu keibubapaan.

Namun seperkara yang sering kali dilupakan kebanyakan ibu bapa ialah soal penjagaan kesihatan keluarga, sedangkan ia antara jaminan kepada melahirkan generasi yang sihat dan berkualiti.

Bagi membantu ibu bapa mendalami ilmu keibubapaan serta penjagaan kesihatan keluarga, Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA) dengan usaha sama Persatuan Obstetrik & Ginekologi Malaysia (OGSM) dan Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM) mengambil inisiatif melancarkan fasa kedua Program pendidikan ibu bapa Positive Parenting (Asuhan Positif) di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara, baru-baru ini.

Majlis pelancaran disempurnakan Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Tan Sri Zaleha Ismail.

Menurut Presiden MPA, Dr. Zulkifli Ismail, usaha tersebut adalah seiring dengan peningkatan usia MPA sendiri yang telah mencecah tujuh tujuh tahun dalam memberi bimbingan dan ilmu tambahan kepada bakal atau ibu bapa.

Katanya, demi memastikan institusi keluarga terus kukuh dan terpelihara, skop yang diperkenalkan melalui program pendidikan dalam fasa kedua itu lebih luas dan menyeluruh.

“Jika sebelum ini skop meliputi teknik sesuai dalam proses penjagaan dan tumbesaran anak, kami memfokuskan tiga topik berkaitan kesihatan iaitu Kesihatan Ibu Hamil, Kanak-Kanak dan Keluarga.

“Mereka yang bakal atau yang telah bergelar ibu bapa boleh melayari laman web kami di www.po sitiveparenting.com bagi mendapatkan maklumat pelbagai topik terutama berkaitan kesihatan ibu dan kanak-kanak,” ujarnya.

Disediakan dalam dua bahasa, Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris ia bagi memberi kemudahan kepada orang ramai untuk mengases maklumat.

Antara topik utama yang dibincangkan termasuk Penjagaan Ibu Hamil meliputi penjagaan kehamilan, pemakanan, bersalin dan keadaan kesihatan si ibu.

Topik kedua tentang Kesihatan Kanak-Kanak dan Pediatrik, meliputi penjagaan anak, vaksin dan pencegahan kecederaan.

Sementara itu, topik Kesejahteraan Keluarga meliputi Perkahwinan, Asuhan dan Kewangan, selain Pemakanan yang menyentuh tentang Penyusuan Ibu, Makanan Pelengkap, Kanak-Kanak Bertatih dan Prasekolah.

Program pendidikan keibubapaan ini merupakan hasil kerjasama Persatuan Kesihatan Mental, Persatuan Perlindungan Kanak-Kanak Berdaftar dan LPPKN di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Sempena pelancaran itu, satu seminar dianjurkan dengan menampilkan beberapa penceramah berpengalaman yang membincangkan pelbagai topik keibubapaan dan kesihatan keluarga.

Antaranya, Konsultan O&G, Prof Dr. Tan Ay Eeng, yang menyampaikan ceramah bertajuk ‘Kehamilan Yang Selamat dan Selesa’, Pakar Dietitik, Peggy Tang bertajuk, ‘Pemakanan Untuk Anak Anda’ dan Konsultant Pediatrik, Dr. Yon Junina Fadzil menyampaikan ceramah bertajuk ‘Penjagaan Kesihatan Anak.’

Tidak ketinggalan ceramah bertajuk ‘Membina Keluarga Yang Positif melalui Kognitif dan Pembangunan Psikologi’ oleh Ketua Jabatan di Fakulti Sains Kemanusiaan di Universiti HELP, Dr. Goh Chee Leong.

Tiada ulasan: