Iklan 2

Iklan 2

Pengikut

Rabu, Ogos 25, 2010

SEMPURNAKAH SYAHADAH KITA ?

Kalimah Syahadah adalah suatu perjanjian kita dengan Allah. Perjanjian ini berasal dari rencana Allah bahawa kita akan diturunkan sebagai wakil Allah di muka bumi. Ketika kita masih di alam ruh (diri kita yang sebenarnya) kita sudah berikrar dan berjanji kepada Allah. Maka Kalimah Syahadah itu menuntut agar setiap apa yang kita lakukan di dunia ini harus kembali kepada tujuan kita dihantar ke muka bumi ini iaitu menjadi Wakil Allah. Tidak ada tujuan yang lain dari itu, Tiada Tuhan Yang Disembah Melainkan Allah ...




Maksud yang disembah di sini yang sering disalahertikan di mana ramai yang beranggapan perkataan 'yang disembah' hanya bermaksud sembahan di dalam ibadah khusus seperti solat, puasa dan sebagainya .... Justeru apabila diri tidak menyembah berhala maka dianggap sudah sempurna Kalimah Syahadah. Kesempurnaan Kalimah Syahadah terjadi apabila seluruh kehidupan kita di dunia ini berada di dalam ruang lingkup perjanjian dengan Allah sebelum diturunkan di dunia ini lagi ... Tidak ada tujuan yang lain SELAIN DARI MENJADI WAKIL ALLAH di muka bumi ini. "Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, 'Aku hendak menjadikan khalifah di bumi ...' " (Al-Baqarah 2: 30)


 Justeru jika kita hidup di dunia ini bertujuan untuk mengumpul harta bagi kepentingan diri dan keluarga sendiri, maka kita sudah mengengkari Perjanjian yang termaktub di dalam Kalimah Syahadah itu. Kita bertuhankan harta, diri dan keluarga. Maaf sekiranya agak tegas perkara ini tetapi inilah yang tidak diberi penekanan dalam masyarakat hari ini yang menyebabkan kehidupan jadi sengsara dengan berbagai masalah yang menimpa.


Rasulullah saw berpesan; "Setiap perkara bermula dengan niat". Kita akan mendapat balasan mengikut apa yang kita niatkan. Bayangkan apa yang kita niatkan bila kita pergi keluar rumah bekerja ... Kenapa kita pergi mencari rezeki? Yuk, kita baiki sedikit dan betulkan niat kita sebagai wakil Allah untuk membesarkan anak-anak kita, untuk memberi pendidikan terbaik untuk anak-anak kita, untuk membantu ibubapa, sanak saudara dan orang-orang yang memerlukan, untuk membantu kerja-kerja perjuangan menegakkan Islam sehingga Islam tertegak di bumi ini, untuk membantu ekonomi Islam dan apa saja asalkan untuk Allah dan bukan untuk diri kita sendiri.


Kalimah Syahadah yang kedua iaitu "Aku bersaksikan bahawa Rasulullah saw adalah pesuruh Allah". Rasulullah saw dihantar ke dunia ini sebagai rahmat kepada alam semesta, mengenalkan manusia kepada TuhanNya dan mengajak manusia untuk kembali bertuhankan Allah serta menjalankan peranan sebagai wakilNya di bumi. Kita yang menjadi wakil Allah juga sepatutnya menjadi rahmat kepada alam semesta, menyambung perjuangan Rasulullah saw, menegakkan Islam secara berjemaah dan menyebarkan dakwah Islam di dalam ruang lingkup peranan yang dapat kita berikan secara maksimanya (bukan secara minima atau part time).


Ketika di TOT baru-baru ini, Pak Ustaz Abu Sangkan menceritakan bagaimana sikap seorang wakil Allah yang sebenarnya. Kata Pak Ustaz, setiap kali seorang wakil Allah itu bangun dari tidur, dia akan berusaha melaksanakan tugasan dan tanggungjawabnya sebaik mungkin sebagai wakil Allah kerana baginya sikap terhadap Allah perlu ditanggapi dengan serius dan bukan dihadapi dengan secara bermain-main. Allah berfirman di dalam salah satu ayatNya yang bermaksud, ".. apakah kamu mengira Kami menciptakan kamu secara bermain-main?"


Pada seorang wakil Allah yang sebenar, dia mungkin hanya mempunyai satu hari itu saja lagi dan hari itu akan digunakan dengan sepenuhnya untuk melaksanakan tugasannya. Justeru seorang wakil Allah sewajarnya merupakan seorang yang sangat produktif dan efektif. Dia tidak suka menangguh kerja. Setelah menumpukan perhatian secara serius kepada tugasannya, dia beristirehat dengan solat yang sangat memberi ketenangan dan kebahagiaan. Hidup dan rezekinya diurus Allah cukup sempurna ... tidak ada resah dan gelisah .. kebahagiaan menyapanya sepanjang kehidupannya. Sahabat sekelian, ramai di antara kita menghabiskan umur dan waktu untuk mencari kesenangan dan kebahagiaan hidup. Namun, tidak juga tenang dan bahagia malah bertambah masalah di dalam kehidupan. Sesekala datang musibah kepada kita tanda kasih sayang Allah untuk memaksa kita datang kepadaNya, namun ramai yang tidak mengendahkannya dan lebih suka bergantung kepada selainNya bagi menghadapi musibah yang dihadapi. Justeru terkapai-kapailah di dalam kehidupan yang tak jelas arah tujuan. Masa muda hilang begitu saja, kebahagiaan tetap tidak dirasa ...


Ketahuilah sahabatku yang dirahmati Allah, ketenangan dan kebahagiaan itu sangat dekat sekali denganmu ... Bebaskan keterikatan dengan hawa nafsu dan dunia yang sedang menghalangmu dari kebahagiaan yang sangat dekat itu. Kembalilah kepada perjanjianmu dengan Allah, yang menghantarmu ke dunia ini sebagai dutaNya yang sangat istimewa ...

Tiada ulasan: