TUMPAT, 27 Jan (Hrkh) - Pelajar-pelajar lepasan kelas Pusat Asuhan Tunas-tunas Islam (Pasti) dianggap memenuhi ciri-ciri ke arah melahirkan modal insan pada masa akan datang, kata Timbalan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Yakob. “Di masa akan datang, pelajar Pasti boleh menjadi modal insan yang baik. Dalam jangka pendek memang tidak nampak, tetapi dalam jangka panjang ia akan menjadi kenyataan. Ini dilihat dari segi kurikulumnya yang lebih mengutamakan pembelajaran agama.
“Dan sekarang pun dapat dilihat pelajar-pelajar lepasan Pasti lebih berdisiplin dan berakhlak biar pun mereka belajar di sekolah kebangsaan,” katanya ketika merasmikan kursus Profesionalisme Guru-Guru Pasti Kawasan Tumpat di Pantai Sri Tujuh di sini, hari ini.
Contoh kepada perbandingan itu katanya dapat dilihat selepas lebih 15 tahun pemansuhan pembelajaran tulisan jawi di sekolah-sekolah, didapati ramai pelajar tidak dapat membaca al Quran.
Menurutnya, itulah kesan jangka panjang yang berlaku. Dan sekarang kerajaan cuba menghidupkan semula pendidikan jawi dengan mewujudkan semula program pembelajaran jawi, al Quran, Bahasa Arab dan Fardhu Ain (J-QAF).
Ahmad yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan berkata, perkembangan yang menarik itu memberi satu cabaran kepada guru-guru Pasti bagi mempertingkat ilmu untuk menghadapi daya saing di alaf baru.
Kata beliau, biar pun guru Pasti tidak dibayar elaun setimpal dengan keringat, namun mereka yang terbabit dengan bidang pendidikan Islam lebih dihargai masyarakat dan dianggap sebagai harta sangat bernilai.
Pengarah Pasti Negeri, Mohd Zaki Ibrahim berkata, guru-guru Pasti mestilah profesional dalam tugas mereka memandangkan bidang pendidikan di zaman melenium sekarang begitu mencabar.
“Oleh itu kursus-kursus seperti ini sering diadakan untuk guru-guru Pasti bagi memastikan gerak kerja ke arah lebih professional. Dengan itu, mereka juga lebih berkaliber menghadapi persaingan dengan kelas pra persekolahan lain,” katanya.
Pengerusi Pasti Tumpat, Ustaz Wan Roslan Wan Ahmad pula mengingatkan guru Pasti memperlengkapkan diri dengan segala kemahiran untuk mendidik anak-anak pra persekolahan.
Seramai 70 guru PAS di kawasan Parlimen Tumpat mengikuti kursus dua hari itu. Beberapa kertas kerja turut dibentang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan